FAQ

Frequently Asked Questions

  • S1. Apakah peralatan komunikasi?

    Peralatan komunikasi adalah kemudahan rangkaian atau peralatan pelanggan yang digunakan untuk tujuan komunikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Kemudahan rangkaian adalah sebarang peralatan yang digunakan untuk penyediaan perkhidmatan rangkaian sama ada rangkaian telefon awam, gentian optik, selular, mudah alih, terrestrial, satelit dan penyiaran.

    Peralatan pelanggan adalah sebarang peralatan yang digunakan oleh pelanggan suatu perkhidmatan rangkaian dan semua jenis peranti wayarles. Contohnya adalah telefon talian tetap dan telefon selular, mesin faks, modem, router dan gateway wayarles, penghantar terima optik, penerima satelit, radio mudah alih atau walkie-talkie, televisyen pintar dan digital, dan sebarang peralatan atau peranti yang menggunakan teknologi wayarles seperti komputer riba, tablet, kamera, jam, drone, baby monitor, CCTV dan lain-lain.

  • S2. Adakah wajib peralatan komunikasi diperakui?

    Ya, Peraturan 14 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 menyatakan bahawa semua peralatan komunikasi yang dikehendaki diperakui di bawah Peraturan-Peraturan tersebut hendaklah diperakui.

  • S3. Mengapakah peralatan komunikasi perlu diperakui?

    Peralatan komunikasi mesti diperakui untuk memastikan ia selamat, saling boleh kendali dengan rangkaian komunikasi awam dan tidak menyebabkan gangguan frekuensi radio. Pemerakuan hanya diberi setelah peralatan melalui proses pengujian dan pengesahan oleh badan yang diiktiraf untuk memastikan ia memenuhi keperluan minimum standard-standard yang telah ditetapkan.

  • S4. Siapakah yang diiktiraf untuk memperakui peralatan komunikasi di Malaysia?

    SIRIM QAS International adalah satu-satunya badan yang diberi kuasa untuk memperakui peralatan komunikasi selaras dengan penetapan mereka sebagai agensi pemerakuan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Anda boleh melayari laman web mereka di www.sirim-qas.com.my atau https://ecomm.sirim.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
    Sebarang pertanyaan juga boleh dihantar melalui e-mel ke alamat-alamat berikut:
    • cmcstech@sirim.my (pertanyaan teknikal)
    • cmcscounter@sirim.my (perkhidmatan kaunter)

  • S5. Siapakah yang bertanggungjawab untuk mendapatkan pemerakuan bagi peralatan komunikasi?

    Adalah menjadi tanggungjawab pengilang atau pengimport atau ejen mereka untuk memohon dan mendapatkan pemerakuan sebelum peralatan dapat dibekalkan di pasaran tempatan.

  • S6. Adakah saya perlu mendapatkan pemerakuan jika saya membeli peralatan komunikasi dari luar negara untuk kegunaan sendiri

    Ya, tetapi dalam hal ini anda boleh membuat permohonan Kelulusan Khas daripada SIRIM QAS International. Walaubagaimanapun kelulusan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat termasuk bilangan peralatan / peranti yang dibenarkan untuk pengimportan. Kelulusan Khas ini juga hanya boleh diberikan sekiranya peralatan tersebut didapati sesuai untuk digunakan di negara ini.

  • S7. Bagaimana pula jika saya telah membeli peralatan komunikasi yang tidak diperakui?

    Di bawah undang-undang, adalah satu kesalahan bagi anda untuk menggunakan atau mengendalikan peralatan komunikasi yang tidak diperakui. Penggunaan peralatan sedemikian mungkin berbahaya atau boleh menyebabkan gangguan kepada peranti lain atau rangkaian komunikasi.

    Oleh sebab itu, MCMC menjalankan kempen Check Your Label untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang keperluan untuk membeli peralatan komunikasi yang diperakui dan mempunyai label MCMC yang sah.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk melaporkan kepada MCMC jika mempunyai sebarang maklumat mengenai premis atau pembekal yang menjual peralatan komunikasi yang tidak diperakui.

  • S8. Bagaimanakah pula jika saya ingin membeli peralatan komunikasi dari kedai atas talian?

    Anda tidak sepatutnya membeli peralatan komunikasi tersebut melainkan anda pasti bahawa peralatan itu telah diperakui oleh agensi pemerakuan yang berdaftar dengan MCMC seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang.

  • S9. Adakah kotak TV Android boleh dijual dan digunakan?

    Anda adalah diingatkan bahawa sebarang pemerakuan yang dikeluarkan oleh agensi pemerakuan berdaftar MCMC dan tanda pemerakuan boleh dijual dan digunakan (label MCMC) yang terdapat pada kotak TV Android hanya untuk modul komunikasi seperti Bluetooth dan WiFi.

    Label MCMC tidak boleh dianggap sebagai kelulusan oleh MCMC terhadap sebarang aplikasi untuk penstriman dan memuat turun filem, drama atau apa-apa kandungan berhak cipta. Penstriman kandungan hak cipta tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan di bawah Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.

    Anda perlu berhati-hati dengan penjualan kotak Android TV yang disertakan dengan aplikasi yang membolehkan penstriman secara haram kerana ia adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang.

  • S10. Apakah tanda pemerakuan bagi peralatan komunikasi?

    Tanda pemerakuan peralatan komunikasi adalah label MCMC yang mesti dilekatkan atau dicetak pada peralatan komunikasi yang menunjukkan bahawa ia telah diperakui mematuhi standard. Ia terdiri daripada logo MCMC dan nombor pengenalan pembekal.

    Label MCMC juga boleh dalam bentuk imej elektronik yang disimpan dalam sistem pengoperasian atau firmware peranti yang mempunyai paparan bersepadu seperti telefon pintar.

  • S11. Adakah mandatori untuk peralatan komunikasi mempunyai label MCMC?

    Ya, semua peralatan komunikasi yang diperakui mesti mempunyai label MCMC.

  • S12. Siapakah yang bertanggungjawab untuk meletakkan label MCMC pada peralatan komunikasi?

    Adalah menjadi tanggungjawab pengeluar atau pengimport atau ejen mereka untuk memastikan semua peralatan komunikasi yang mereka import dan jual di pasaran mempunyai label MCMC.

  • S13. Bagaimana untuk memohon label pemerakuan MCMC?

    Pembekal (pemegang sijil) bertanggungjawab untuk memastikan semua peralatan komunikasi yang telah diperakukan mempunyai label pemerakuan MCMC (label MCMC).

    Mulai tahun 2015, MCMC bersama dengan agensi pemerakuan yang berdaftar telah melaksanakan Program Labelan Kendiri (SLP) di mana label pemerakuan tidak lagi dihasilkan oleh agensi pemerakuan. Di bawah SLP, pemegang sijil boleh menyediakan label pemerakuan MCMC, sama ada dalam bentuk label elektronik yang disimpan dalam sistem pengoperasian peranti atau label fizikal yang dilekatkan, timbul atau dicetak di permukaan peralatan.

    Pemegang sijil perlu mendaftar dengan agensi pemerakuan yang berdaftar untuk mendapatkan nombor pengenalan pembekal sebelum menggunakan label pemerakuan.

    Sila rujuk dokumen Panduan Label MCMC yang diterbitkan dilaman web MCMC atau hubungi agensi pemerakuan yang berdaftar untuk panduan lebih lanjut mengenai perkara ini.

  • S14. Adakah satu kesalahan untuk membeli peralatan komunikasi tanpa label MCMC?

    Peralatan komunikasi yang tidak mempunyai label MCMC boleh dianggap sebagai tidak diperakui. Peraturan memperuntukkan bahawa seseorang yang menggunakan, menawarkan untuk menjual (mengiklan), menjual atau memiliki suatu peralatan komunikasi yang tidak diperakui adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

  • S15. Bagaimanakah memastikan suatu label MCMC adalah sah?

    Kesahihan label MCMC boleh diperiksa dengan menyemak maklumat peralatan dengan pangkalan data pemerakuan dengan menggunakan nombor pengenalan pembekal, nombor IMEI atau nombor siri peralatan. Pengesahan boleh dilakukan menggunakan aplikasi mudah alih Check Your Label yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store.

  • S16. Siapakah yang bertanggungjawab untuk pelabelan peralatan komunikasi?

    Adalah menjadi tanggungjawab pemegang-pemegang sijil pemerakuan untuk memastikan bahawa semua peralatan komunikasi mempunyai tanda atau label pemerakuan MCMC.

  • S17. Apakah standard yang perlu dipatuhi dan dimanakah pemohon boleh mendapatkan salinan standard tersebut?

    MCMC telah menetapkan standard-standard yang dikenali sebagai kod teknik untuk tujuan pemerakuan bagi peralatan komunikasi talian tetap dan wayarles. Kod-kod teknik tersebut menggariskan keperluan teknikal minimum untuk keselamatan, kesalingbolehkendalian, radio frekuensi dan keserasian elektromagnet.

    Kod-kod teknik tersebut boleh diperolehi melalui capaianĀ https://www.mcmc.gov.my/en/legal/registers/cma-registers.

    Dalam keadaan di mana kod teknik tidak tersedia, pemerakuan akan dilakukan berdasarkan standard kebangsaan atau antarabangsa yang relevan. Peralatan juga mesti memenuhi keperluan frekuensi radio yang dinyatakan dalam dokumen MCMC berkaitan seperti pelan spektrum, penguntukan kelas dan pelan sistem radio standard (SRSP).